23 Jun 2011

Pentingnya Budaya Merujuk Pakar

السلام عليکم ورحمة الله وبرکاته
Rencana berikut dipetik daripada Blog Ustaz Ridhuan Tee yang telah disiarkan dalam akhbar Sinar Harian pada Hari Isnin, 20hb Jun 2011.

Marilah kita bersama-sama menghayatinya.
**

Saya merasa pelik kenapa kerajaan masih mahu melayan tuntutan kumpulan yang terlalu minoriti seperti The Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE) yang mahu kembali semula kepada Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Jika itu kemahuan mereka, biarlah mereka yang buat, kita lihat sejauh mana hebatnya mereka mahu mengubah sistem pelajaran, bukan memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mengikut pandangan pakar.

Pertubuhan ini nampaknya begitu agresif bersama pertubuhan bukan Melayu yang lain, mahukan PPSMI dikembali semula. Pertubuhan ini tidaklah terlalu berpengaruh. Saya yakin ahli-ahlinya hanya ada sekelumit, tetapi mungkin kabel mereka agak besar. Mereka berhujah menggunakan pendapat segelintir ibu bapa dan bukan Melayu yang memang mahu melihat bahasa Melayu terkubur serta respon yang diperolehi melalui perbahasan dalam talian internet. Sudah tentu jawapannya tidak akan menyebelahi bahasa kebangsaan kerana kita tahu siapakah mereka?

Ingin juga saya bertanya pimpinan mereka ini mengkhusus dalam bidang apa? Jika berada di luar bidang kepakaran, lebih baik senyap dahulu. Belajar lagi untuk mengkhusus dalam bidang kepakaran. Dengar dulu nasihat pakar-pakar dalam bidang bahasa, yakni mereka yang mengkhusus dalam bidang bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dan dapatan kajian-kajian yang telah dilakukan. Jangan ikut pandai sendiri sahaja, sedangkan kelulusan tidak seberapa. Jika sakit pergilah berjumpa doktor perubatan, jangan jumpa doktor falsafah atau jurutera. Begitulah pentingnya budaya merujuk pakar, supaya mendapat input yang betul.

Tidak ada seorang pun yang menolak akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Bodohlah kita jika menolaknya. Persoalan pokok adalah, janganlah sampai merubah sistem. Jika bahasa itu yang lemah, maka perbaikilah bahasa tersebut seperti yang cuba dilakukan oleh Kementerian Pelajaran hari ini, bukan dengan mengorbankan identiti dan jati diri.

Bahasa jiwa bangsa. Rosak bahasa adalah permulaan kepada petanda punahnya atau pupusnya sesuatu bangsa. Itulah antara pesanan seorang ahli falsafah Cina zaman dahulu. Pada masa sama, buatlah kajian terhadap 198 negara bangsa yang sedia wujud di dunia ini. Tidak ada sebuah negara bangsapun yang sanggup korbankan bahasa kebangsaan hanya kerana atas alasan pembangunan, atau Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan sebagainya. Berilah apa jua alasan untuk kemajuan, tetapi jangan menjadikan bahasa Melayu sebagai galang gantinya. Berapa banyak negara di dunia ini masih tidak menggunakan bahasa Inggeris tetapi tetap maju. Tidak perlulah saya berikan bukti sebab sudah basi.

Kementerian Pelajaran sedang bertungkus lumus untuk memperhebatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai aspek. Biarlah pakar-pakar yang menentukan dan menanganinya. Siapakah kita jika dibandingkan dengan pakar-pakar bahasa?

Hormatilah budaya merujuk pakar. Sama juga dengan isu novel Interlok. Majoriti pakar bahasa dan sasterawan mengatakan bahawa isi kandungan novel tersebut sebenarnya tiada masalah langsung. Kenapa kita seperti cacing kepanasan kalau bukan kerana ada udang di sebalik batu?

Namun, setelah dipindapun, masih ramai yang tidak berpuas hati. Kenapa? Jawapannya mudah, kumpulan ultra kiasu ini ada agenda lain. Komuniti besar kepala ini merasakan diri mereka telah kuat melalui keputusan pilihan raya umum 2008. Kerjanya tidak ada lain, ugut, desak dan tuntut. Dengan nada sombong dan bongkak mereka mahu kerajaan supaya mengharamkannya. Novel ini dikatakan akan merosak pemikiran pelajar kerana lebih mempamerkan ketuanan Melayu. Saya yakin puak-puak ini tidak akan berani mengangkat kepala sedikitpun jika umat Islam bersatu atau keputusan pilihan raya 2008 tidak ‘menyebelahi’ mereka.

Kalau tidak percaya, bacalah lama-laman-laman web ultra kiasu. Bacalah komen-komen negatif mereka. Saya syorkan Kementerian Dalam Negeri mengambil inisiatif menterjemahkan akhbar, majalah dan buku-buku karangan pengarang bukan Melayu terpilih, kita lihat berapa banyak pujian dilontarkan kepada bangsa Melayu, negara Malaysia dan 1Malaysia. Kita lihat siapakah yang paling banyak menabur racun. Sekurang-kurang novel Interlok berani berterus terang menceritakan realiti sebenar masyarakat berbilang kaum di negara ini, daripada lempar batu sembunyi tangan.

Kepada golongan yang hanya pandai mengkritik ini, pandai sangatkah mereka dalam sastera Melayu? Apakah mereka selalu dilihat menulis dan bercakap bahasa Melayu? Apakah latar belakangnya? Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang Cina yang mempunyai pengalaman luas bercampur dengan masyarakat majmuk di Malaysia. Ternyata beliau begitu memahami warna-warni masyarakat yang wujud, dengan bangsa Melayu sebagai bangsa teras. Maka tidak hairan jika beliau fasih dalam bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris. Interlok pada beliau adalah realiti masyarakat Malaysia sebenarnya.

Sebenarnya, kita amat memerlukan ramai rakyat Malaysia seperti ini. Bukannya, mereka yang akan mencari seribu satu alasan untuk mematahkan apa jua idea baik yang dikemukakan. Hari ini, mereka menggunakan gagasan 1Malaysia sebagai hujah utama jika tidak berpuas hati. Misalnya, terbaharu, pertubuhan Kristian terus mencabar Kementerian Dalam Negeri, berkaitan isu-isu sensitif seperti alkitab dalam bahasa Melayu, kalimah Allah dan sebagainya. Mereka mahu mengimport dan menterjemahkan alkitab Melayu sebanyak yang mungkin.

Kenapa perkara ini perlu diperbesarkan sedangkan populasi mereka hanya di sekitar di bawah 10 peratus? Jawapannya juga mudah, mereka agenda lain. Kita yang terlalu bersangka baik dan terlalu menjaga hati mereka untuk mendapatkan undi. Sedangkan belum tentu mereka mengundi kita. Tidak cukupkah lagi kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita?

Gagasan 1Malaysia bukan bermakna memadamkan semua unsur-unsur Melayu dan Islam sehingga menjadikan ia sama rata dan sama rasa. Bayangkan jika tidak diperkenalkan gagasan1Malaysia, apakah kita yakin mereka tidak akan mencari apa jua hujah untuk mematahkan hujah-hujah kita. Kadangkala terfikir juga saya apakah gagasan ini satu kesilapan kerana ramai sangat orang yang memperalatkannya. Carilah tempat yang boleh memuaskan hati dan mengamalkan kebebasan sepenuhnya jika Malaysia bukan lagi tempat yang sesuai. Identiti Islam dan Melayu mesti dikekalkan sebagai tanda negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu.

Saya bukanlah menidakkan hak bangsa lain, tetapi setiap negara perlukan kepada identiti berasaskan kepada siapa yang membentuk kerajaan pada permulaan kewujudan sesebuah negara. Fenomena ini berlaku di kebanyakan negara di dunia. Ia bukanlah sesuatu yang baharu. Adalah sesuatu perkara biasa budaya bangsa awalan mendominasi atau menjadi identiti kepada sesebuah negara. Tidak perlu saya sebut nama-nama negara tersebut.

Justeru, kepada mereka yang faham sejarah, perkara ini tidak menjadi isu besar kerana mereka faham. Yang menimbulkan masalah hari ini adalah mereka tidak faham atau sengaja tidak mahu faham dan sengaja mengelirukan fakta. Saya tidak ada masalah langsung dengan hak-hak istimewa Melalyu/Bumiputera dan Dasar Ekonomi Baharu jika digunakan dengan betul dan dimanfaatkan kepada semua yang layak. Persoalan timbul, adalah ia benar-benar berlaku? Tidak dinafikan berlaku salah guna kuasa. Namun begitu, itu bukan bermakna, kita perlu bertindak mendesak menghapuskan dasar tersebut. Yang salah itu manusia, dasar-dasar tersebut tidak salah. Perlembagaan itu tidak salah, yang salah adalah manusia yang melaksanakan isi kandung perlembagaan.

Pada saya, pihak British yang merangka perlembagaan ini, cukup memahami situasi Tanah Melayu ketika itu. Maka, kita dapat lihat perlembagaan digubal dengan begitu adil dan saksama. Walaupun perlembagaan itu tidaklah sangat bersifat Islam, tetapi ia memihak kepada Islam. Terlalu banyak ruang untuk Islam bergerak, cuma kita sahaja yang tidak mahu memanfaatkannya.

Di satu pihak mahu menukar keseluruhan perlembagaan tersebut. Di pihak yang lain pula mahu mempertahankannya, tetapi perlaksanaan Islamnya agak perlahan. Dalam hal ini, sudah tentu pendekatan untuk menukar perlembagaan secara keseluruhan agak sukar untuk dilaksanakan, kerana umat Islam tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Apatah lagi ada kalangan mereka yang ultra dan berkata ‘langkah mayat aku’.

Seperti yang selalu saya katakan, kenapa kita pakat-pakat berusaha dan bekerja dalam ruang lingkup perlembagaan yang membenarkan Islam berkembang dan dilaksanakan. Kenapa kita asyik mengkafirkan perlembagaan yang didakwa digubal dan ditinggalkan oleh penjajah. Adakah keseluruhan perlembagaan negara kita tidak Islam?

Saya berkesempatan berforum dengan Profesor Abd Aziz Bari bulan lalu. Ternyata pandangan beliau selaku pakar begitu jauh ke hadapan. Kepakaran beliau dalam undang-undang dan perlembagaan menjadikan ia tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Antara pendapat beliau yang begitu kontroversi adalah, “untuk menggantikan atau menukar perlembagaan yang sedia ada sekarang adalah suatu angan-angan Mat Jenin yakni terlalu sukar untuk dilakukan”.

Kenyataan beliau mendapat respon yang spontan daripada khalayak. Saya yakin saudara pembaca mesti dapat mengenal pasti siapakah golongan dimaksudkan. Namun, pendapat beliau adalah berasaskan kepada bidang dan kepakarannya. Kita sahaja yang tidak sampai kepada peringkat pemikiran beliau dan bertindak begitu beremosi, sehingga akhirnya memakan diri. Bercakap tidak berasaskan kepada fakta dan realiti semasa. Sedangkan keadaan sudah jauh berubah.

Maka tidak hairanlah, jika hari ini kita sudah jarang orang memperkatakan undang-undang hudud. Jika tidak dahulu, hudud, hudud, hudud. Keadaan mula berubah daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.

Kadang-kadang saya naik muak setiap kali mendengar khutbah jumaat di beberapa masjid, terutama masjid Bandar Baru Ampang. Isi kandungannya tidak banyak berubah, sikit-sikit kembali kepada Quran dan Sunnah. Benar, saya tidak menolak kenyataan tersebut. Tetapi apakah modus operandinya? Tunjukkan bagaimana ianya boleh dilaksanakan dalam realiti masyarakat berbilang kaum hari ini. Jangan asyik-asyik bercakap perkara-perkara yang begitu simplistik. Pendekatan kita biarlah mendidik.

Saya teramat ingin juga mendengar khutbah jumaat yang mengajak masyarakat lebih berhemah di jalan raya. Misalnya, memakirkan kereta di tempat-tempat yang tidak menghalang lalulintas ketika ketika solat jumaat. Saya begitu lemas melihat setiap kali solat Jumaat, jemaah memakirkan kereta mereka sehingga jalan yang mempunyai banyak lorong, hanya menjadi hanya satu lorong, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan menyusahkan orang lain. Bayangkan jika ada hal-hal kecemasan, sudah tentu akan menimbulkan masalah. Tidak kurang juga kita menyusahkan orang bukan Islam yang menggunakan jalan tersebut. Sudah tentu pandangan mereka terhadap Islam menjadi serong. Bila umat Islam menunaikan solat jumaat, maka ia menyusahkan orang lain.

Tidakkah lebih baik, kita memakirkan kenderaan jauh sedikit daripada jalan utama dan membiarkan lorong jalan raya selesa untuk dilalui dan tidak menimbulkan kesesakan atau kesusahan kepada orang lain. Ini tidak, kita mahu memakir kenderaan, kalau boleh sehingga sampai ke tangga atau ke mimbar masjid. Kita tidak langsung mahu bersusah sedikit, untuk menyenangkan orang lain. Jika ini sikap kita, sampai bila-bilapun Islam sukar untuk berkembang. Khutbah seperti ini jarang kedengaran. Yang ada, hentam sana, hentam sini, kemudian kembali kepada Quran dan Sunnah. Caranya bagaimana? Mendidik.

Sudah sampai masanya khatib-khatib mengamalkan sikap merujuk kepada pakar. Perlu ada inovasi dan kelainan dalam berkhutbah. Jika tidak, orang akan lari dari masjid. Tidak semua mereka yang datang bersolat adalah kalangan orang yang sama. Kita sahaja yang syok sendiri, sehingga khutbah yang sepatutnya mendidik, menjadi bahan cacian dan umpatan selepas itu. Saya tidak kata khutbah yang sedia ada, sudah bagus. Apapun penambahbaikan dan inovasi perlu dilakukan dari masa ke semasa. Apa yang penting, jika tidak tahu, rujuklah kepada mereka yang pakar. Sudah tentu banyak perkara yang dapat diselesaikan, termasuk isu PPSMI.

Biarkanlah mereka dalam bidang, yang lebih banyak membicarakannya, daripada kita yang berada di luar bidang atau masih belajar. Saya tidak kata, yang bukan pakar tidak boleh memberikan komen atau pandangan, sebaik-baiknya rujuklah kepada pakar untuk memperdalamkan ilmu. Dengan sebab itu, dalam pengajian ada pengkhususannya sehingga kepada tahap yang lebih tinggi. Fakulti Pengajian Islam terlalu banyak pecahannya seperti Usuluddin, Syariah, Muamalah dan sebagainya. Begitu juga dalam bidang sains dan sains sosial.
**

3 ulasan:

  1. ouh wowo!!sy baca dlm hati mamcam sy tengah berhujah pulak...
    btw...apa maksud ultra kiasu ??
    sy xfaham.
    emmm...betul...manusia hari ini hanya pandai teori..tetapi praktikalnya kosong...

    semua org bole memberikan hujah..tapi adakah hujah yang penuh dengan falsafah itu relevan denga keadaan semasa...jgn belajar sendiri...belajar lah dengan guru(pakar)
    maka tidak lah kita belajar dengan nafsu dan syaitan...

    betul...kadang2 perkara PPSMI tidak perlu dibahaskan. biarlah sains dan matematik belajar dlm bahasa melayu..
    tapi mungkin ramai org tidak berpuas hati kerna kenapa sejak dari dahulu...kementerian pelajaran tidak kekalkan belajar 2 subjek itu dlm bahasa melayu...? sama seperti saya...saya pernah terfikir..kenapa tidak kekalkan sejak dahulu. :)

    BalasPadam
  2. Mengikut apa yang saya faham, kiasu bermakna tidak mahu kalah. Kiasu merupakan dialek Hokkien.

    kiasu = tidak mahu kalah
    Ultra kiasu = terlalu tak mahu kalah

    Dalam konteks Ustaz Ridhuan Tee ini, Ultra Kiasu ini merujuk kepada pihak yang langsung tidak mahu mengalah dalam sebarang tuntutan yang tidak munasabah terhadap Kerajaan, termasuklah tuntutan yang bakal melukakan hati Orang Melayu.

    Rujukan:
    1. http://ridhuantee.blogspot.com/2006/11/melayu-mesti-kiasu-untuk-berjaya.html (makna kiasu)

    BalasPadam
  3. ouh ya ka??tenkiu for the info encik W

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...