11 Disember 2011

Daulat Tuanku

السلام عليکم ورحمة الله وبرکاته
Hari ini 11hb Disember 2011, merupakan Hari Keputeraan Sultan Selangor yang ke-66. Memandangkan saya bekerja di Negeri Selangor Darul Ehsan, bermakna esok; 12hb Disember 2011 bersamaan Hari Isnin , dapatlah saya berehat sepuasnya dan mencari ilham yang lebih mantap untuk menaip dalam blog ini pada masa mendatang :D

Pada masa yang sama juga, saya difahamkan bahawa Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14, bagi menggantikan Tuanku Mizan yang akan tamat tempoh pemerintahan. Ini merupakan kali ke-2 Sultan Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.


Apa-apapun, saya ingin mengucapkan Daulat Tuanku buat Sultan Selangor, Sultan 
Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj atas Hari Keputeraan Baginda; dan Daulat Tuanku buat Sultan Abdul Halim yang akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 serta Sultan Muhammad V yang akan ditabalkan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.







Sekian, terima kasih.

Rujukan:

27 November 2011

Khabar berita 27hb November 2011

السلام عليکم ورحمة الله وبرکاته
Kepada pembaca dan pengikut setia blog Cetusan Ilham En. W. Sudah lama saya tidak mengemaskini blog, bukan kerana menyombong tetapi En. W sedang menghadapi sindrom (amaran: bunyinya agak kasar sedikit, jadi jangan ambil hati ya) kemandulan minda.


Senang kata, En. W sedang tiada ilham yang mencukupi untuk membuat catatan yg baharu. Jadi, En. W ingin meminta jasa baik rakan-rakan sekalian menyumbangkan fikiran yang bernas untuk dimuatkan dalam blog En. W yang satu ini.
.
Oh ya, sebelum terlupa, En. W ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Hijrah atau dalam Bahasa Arabnya, dengan izin (dah macam di Parlimen pula) Maal Hijrah.



Sekian, terima kasih.

Isu Bahasa Melayu

Di mana letaknya kedudukan bahasa Melayu?

(Utusan Malaysia 20 Jun 2011)

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0620&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm&arc=hive

MESKIPUN isu bahasa Melayu sudah lama diperkatakan, namun setakat ini tiada perubahan drastik yang boleh dilihat bagi memartabatkan bahasa rasmi Malaysia di buminya sendiri.

Bahasa Melayu layu di tanah air sendiri. Layu umpama menanti rebah ke bumi. Pengalaman penulis ketika berada di Kuala Lumpur baru-baru ini, menggambarkan bahawa Bahasa Melayu dipinggirkan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Ketika penulis tercari-cari jalan menuju ke sebuah kilang di Petaling Jaya, penulis berhenti sejenak untuk bertanya laluan ke kilang tersebut di salah sebuah kilang automatif.

Penulis menemui tiga orang pekerja rakyat Malaysia di kilang tersebut dan bertanyakan soalan dalam bahasa Melayu. Setiap kali penulis bertanya dalam bahasa Melayu, dibalas oleh mereka dalam bahasa Inggeris.

Sebanyak tiga kali penulis bertanya kepada mereka sehinggakan penulis beranggapan betapa rendahnya martabat bahasa Melayu di hati pekerja-pekerja kilang tersebut. Walhal, mereka sememangnya memahami soalan penulis. Jika tidak mana mungkin mereka mampu menjawab dengan baik apa yang ditanya oleh penulis.

Itu kejadian pertama. Kejadian kedua berlaku pada bekas-bekas pelajar penulis. Ramai di antara mereka bercita-cita untuk bekerja di syarikat multinasional antarabangsa. Ada di antara mereka dipanggil temu duga.
Sungguh memeranjatkan, terdapat syarikat minyak antarabangsa yang mengenakan syarat mahir berbahasa Mandarin untuk diambil bekerja. Sudahlah hanya segelintir orang Melayu dipanggil temu duga berbanding bukan Melayu, syarat berbahasa Mandarin pula disebut ketika ditemu duga.

Kalau begitu, lebih baik tidak dipanggil temu duga langsung. Buang masa sahaja! Adakah memanggil orang Melayu untuk ditemu duga hanya untuk memenuhi syarat kononnya tiada berlaku diskriminasi kaum? Syarat sebegini wajib dihapuskan.

Pernahkah kita mendengar syarikat-syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia mengenakan syarat bahasa Jepun untuk mengambil pekerja Malaysia bekerja dengan mereka?
Mohon pihak berkuasa dan barisan kabinet buatlah sesuatu agar lebih ramai orang Melayu dan bumiputera bekerja di syarikat-syarikat multinasional tanpa adanya syarat mahir berbahasa Mandarin.

Kalau tidak, orang Melayu dan bumiputera hanya bekerja di jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bagi penulis perkara ini amat memalukan.
Kita cuba lihat di negara-negara lain seperti Perancis dan Jepun, hatta jiran kita Indonesia dan Thailand, rata-rata keseluruhan rakyat mereka menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan peribadi dan rasmi.
Penulis ingin memberi dua contoh bagaimana rakyat mereka berbangga dengan bahasa mereka sendiri. Cuba kita bercakap dalam bahasa Inggeris ketika mula-mula menjejaki bumi Perancis.

Percayalah, mereka tidak akan layan kita. Mereka akan layan sehinggalah kita bercakap dalam bahasa Melayu atau bahasa selain bahasa Inggeris, barulah mereka mula bercakap dalam bahasa Ingeris. Sebenarnya mereka mengharapkan kita bercakap dalam Bahasa Perancis.
Itu kes pertama, kes kedua berlaku sendiri pada rakan penulis ketika belajar di United Kingdom. Wajah rakan penulis ini ada iras-iras orang Jepun, maka, selalu sahaja berlaku kejadian orang Jepun memarahi beliau.
Puncanya kerana menyangkakan beliau merupakan orang Jepun, maka soalan-soalan yang diajukan kepada beliau dalam bahasa Jepun. Apabila setiap kali beliau menjawab dalam bahasa Inggeris dengan menyatakan bahawa beliau tidak memahami bahasa Jepun, orang Jepun ini memarahinya dalam bahasa Inggeris bahawa beliau sudah lupa daratan kerana tidak mahu bercakap dalam bahasa Jepun!

Perancis dan Jepun adalah dua bangsa yang jauh maju ke hadapan berbanding Malaysia tetapi di hati mereka hanyalah bahasa kebangsaan mereka. Kita pula masih tercari-cari rentak untuk bergelar negara maju, tetapi sudah mula lupa diri.
Apakah akan terjadi pada tahun 2020 nanti? Adakah ketika itu bahasa Melayu hanya sesuai menjadi tatapan generasi 2020 sebagai salah satu lipatan sejarah di Muzium Negara?
Malaysia tidak akan menjadi negara maju dan mapan jika rakyatnya sendiri tidak mempunyai jati diri mempertahankan kekuatan yang ada. Bahasa Melayu adalah salah satu kekuatan yang wajib dipertahankan. Paling penting bahasa Melayu wajib dimartabatkan sehingga seluruh Malaysia menggunakannya tanpa rasa segan dan silu.

Mengambil iktibar seorang profesor rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Melayu, bekerja di luar negara berpuluh-puluh tahun lamanya tetapi masih berbicara dalam bahasa Melayu dengan fasihnya apabila berada di sini.
Kita yang menetap di Malaysia janganlah sesekali merendahkan bahasa kebangsaan kita sendiri. Tiada gunanya bahasa Melayu dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan tetapi pengisiannya tidak langsung menggambarkan ia sebagai bahasa teras rakyat Malaysia.
Pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Sebagai permulaan, penulis mencadangkan agar bahasa Melayu diamalkan dan dimartabatkan dalam segala program transformasi kerajaan (Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi) dan selepas itu diperluaskan dalam segala urusan kehidupan rakyat Malaysia. 

Artis, malulah dengan bahasa rojak

(Pancaindera Mingguan Malaysia  19 Jun 2011)

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0619&pub=utusan_malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm&arc=hive

BAHASA menunjukkan bangsa. Selalu sangat dengar perumpamaan ini, tetapi sejauh manakah kita menghayatinya?
Lebih daripada itu, sejauh manakah kita berusaha untuk menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dan tepat dalam setiap penulisan dan tutur bicara?
Kelihatannya kecelaruan dalam berbahasa hari ini semakin membimbangkan. Apatah lagi baru-baru ini timbul kes dimana ada pelajar sekolah menjawab peperiksaan dengan bahasa SMS yang ringkas dan mempunyai kesalahan ejaan yang melampau.

Bayangkan, hal itu berlaku di dewan peperiksaan dan kertas jawapan itu akan menentukan hala tuju masa depan pelajar terbabit. Begitu pun boleh dibuat main-main lagi, apatah lagi kalau berbicara di laman sosial.
Hal ini juga terjadi dengan begitu leluasa dalam industri hiburan tempatan. Setelah disogokkan dengan drama dan filem yang begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan bahasa rojak, saya semakin sedih dengan penampilan artis-artis kita apabila melihat ke laman sosial mereka sendiri.

Laman sosial selain mempromosikan aktiviti peribadi, kini menjadi medan untuk memperlihatkan sikap kurang prihatin orang seni kita mengenai cara berbahasa dengan baik. Sangat carca marba.
Tak percaya? Selaklah laman sosial artis muda dan karyawan seni. Berapa keratkah yang memilih untuk menggunakan bahasa yang betul?
Kita tidak meminta mereka menggunakan bahasa bombastik atau puitis tahap puisi agung sasterawan negara, sebaliknya sekadar mengeja dengan betul dan tepat tanpa banyak kesalahan tata bahasa. Itu pun susah sangat ke?
Dan hal ini terjadi bukan kepada artis sahaja, sebaliknya berdasarkan pemerhatian saya, lebih 90 peratus daripada pengguna laman sosial tidak berbahasa dengan betul.

Kita seolah-olah mewariskan kecelaruan bahasa kepada anak-anak yang hari ini lebih senang mengeja ‘blh’ untuk boleh, ‘sy’ untuk saya, ‘mcnta’ untuk mencintai, 10q (disebut ten q) untuk ‘thank you’. Dan pelbagai pilihan perkataan tidak normal lain yang dijadikan sebagai pilihan.
Hairannya kalau dalam Bahasa Inggeris, tahu pula mereka menggunakan pilihan kata-kata dengan tepat. Mereka malu tidak keruan apabila menulis atau bercakap dalam Bahasa Inggeris yang ‘cacat’. Sebaliknya dalam bahasa ibunda sendiri boleh buat-buat lupa, sangat menyedihkan.

Kita marah atau boleh tiba-tiba naik angin kalau bangsa lain bercakap sesuatu yang jelek tentang bangsa atau bahasa kita. Kita ketawakan Siva atau Ah Cong kalau mereka bertutur dalam bahasa pelat dan tidak lancar bercakap Melayu.
Tetapi dalam masa yang sama, kita seolah-olah terlupa bahawa orang kita sendiri lebih ramai yang ‘menghina’ bahasa sendiri.
Dan apabila membicarakan hal artis, ia lagilah tidak sepatutnya boleh berlaku. Ini kerana bagi saya, artis adalah golongan yang sepatutnya mempunyai hati yang ‘lebih besar’ untuk memperjuangkan kesenian dan kebudayaan bangsanya.
Sementelah sifat seni itu sendiri yang turut berkait rapat dengan bangsa dan budaya, seharusnya kita mengharapkan karyawan seni adalah orang yang berada pada barisan depan memperjuangkan hal berkaitan bahasa dan bangsanya sendiri.

Peranan artis sebenarnya bukan mudah. Kita akur, tidak semua artis mahu menjadi idola masyarakat, tetapi sekurang-kurangnya jadikan kehadiran kita ke dunia seni dilihat melalui cara yang baik.
Tanpa perlu menggalas senjata ke medan perang, tanpa bertarung di medan politik, kita juga boleh
memberi sumbangan kepada nusa dan bangsa.
Kepada teman-teman artis yang barangkali terbaca coretan saya minggu ini, ayuh kita mulakan sesuatu yang baru, hari ini juga.
Berusahalah sedaya mungkin untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Kalian mempunyai ribuan peminat yang sentiasa mengekori dan memerhati, sekurang-kurangnya ajarlah mereka, ajaklah mereka ke arah yang baik ini.
Jadikan laman sosial kalian sebagai medan untuk berkempen ke arah penggunaan bahasa Melayu yang betul, bukan medan untuk ‘porak-peranda’ kan bahasa ibunda.

Kalau bukan kita yang berusaha, siapa lagi? Masih ada masa untuk kita berubah.
Kasihanilah guru-guru Bahasa Melayu kita dahulu yang ‘berbuih mulut’ mengajar tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Tentunya hari ini ada antara mereka yang menangis sedih apabila melihat kita terus mencampakkan segala ajaran yang telah mereka berikan pada suatu ketika sewaktu kita masih di bangku sekolah. Kasihanilah guru-guru kita itu.
Ayuh, berubahlah!
**

Sekian, terima kasih.

30 Ogos 2011

Selamat Merdeka Raya


السلام عليکم ورحمة الله وبرکاته
Memandangkan Hari Raya Aidilfitri jatuh sehari sebelum Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-54, Encik W ingin mengucapkan Selamat Merdeka Raya kepada semua pengikut blog ini. Maaf Zahir Batin dan Selamat Hari Kebangsaan.

Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan pembaca blog saya yang budiman agar kita haruslah yakin dengan diri kita sendiri, bersesuainlah dengan makna Merdeka dan Hari Raya yang bermaksud bebas membuat keputusan sendiri tanpa terikat kepada mana-mana pihak; sama ada musuh yang nyata (pihak yang anti-Islam) dan juga tidak nyata (syaitan laknat).


Sekian, terima kasih.

1 Ogos 2011

Selamat berpuasa :)

السلام عليکم ورحمة الله وبرکاته
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada Umat Islam di seluruh dunia. Semoga amalan kita diterima-Nya. Amin.

Apa-apapun, tontonlah video berkaitan berpuasa yang telah saya sediakan. Selamat menonton!

Video niat berpuasa:

Video niat berbuka puasa:

Video lain berkaitan Ramadhan:







Sekian, terima kasih.

2 Julai 2011

موات تورون توليسن جاوي

السلام عليکم ورحمة الله وبرکاته
3 بواه چاتتن ساي، ترماسوق چاتتن اين اداله ددالم توليسن جاوي. سکيراڽ اندا تيدق داڤت ممباچڽ، برکموڠکينن کومڤوتر اندا تيدق دلڠکڤي دڠن توليسن جاوي. اندا بوليهله موات تورون توليسن جاوي دعلامت يڠ ترترا:


بوات ڤڠتاهوان اندا،  توليسن جاوي ممڤوڽاٴي تمبهن 6 حروف بربنديڠ حروف عرب ياٴيت حروف ݢ، ۏ، ڽ، ڤ، ڠ دان چ.

سکيان، تريما کاسيه.


السلام عليکم ورحمة الله وبرکاته
3 buah catatan saya, termasuk catatan ini adalah di dalam tulisan Jawi. Sekiranya anda tidak dapat membacanya, berkemungkinan komputer anda tidak dilengkapi dengan tulisan Jawi. Anda bolehlah muat turun tulisan Jawi di alamat yang tertera:


Buat pengetahuan anda, tulisan Jawi mempunyai tambahan 6 huruf berbanding huruf Arab iaitu huruf Ga, Va, Nya, Pa, Nga dan Ca.

Sekian, terima kasih.

30 Jun 2011

ڤندفترن دوماٴين دالم توليسن جاوي

السلام عليکم ورحمة الله وبرکاته
ساي براس سوڠݢوه ݢمبيرا اڤابيلا مڠتاهوي بهاوا ماينيک (Mynic)، ڤيهق يڠ برتڠݢوڠجواب مڠاول my. کيني تله ڤون ممبوک ڤندفترن نام دوماٴين دالم توليسن جاوي.

اونتوق معلومت لنجوت، سيلا لايري لامن برايکوت:
چوما، ستاکت چاتتن اين دتاٴيڤ، ساي بلوم داڤت ممستيکن ڤيهق يڠ تله مندفتر نام دوماٴين دالم توليسن جاوي.

سکارڠ، ساي ترتوڠݢو-توڠݢو بيلاکه اݢقڽ بلوݢݢر (Blogger) اکن مڽوکوڠ ڤندفترن نام دوماٴين دالم توليسن جاوي. موڠکين علامت ساي اکن منجادي سڤرتي برايکوت:
انچيقW.بلوݢسوت.کوم

اڤا٢ ڤون، کيت توڠݢو دان ليهت ڤرکمبڠنڽ ننتي.

سکيان، تريما کاسيه.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...